Menteri minta syarikat bina bangunan di tanah kerajaan buat penjelasan

Menteri minta syarikat bina bangunan di tanah kerajaan buat penjelasan

Khalid berkata siasatan mendapati 'bangunan misteri' dibina atas tanah milik PTG Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan.

Khalid Samad berkata tindakan lanjut akan diambil sekiranya tiada maklum balas daripada syarikat terbabit.
KUALA LUMPUR:
Syarikat yang membina bangunan di atas 2 lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk tampil memberi penjelasan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata siasatan dalaman oleh Unit Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kedua-dua tanah berkeluasan 0.14 hektar iaitu Lot 568 merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah hak milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan bawah seliaan ketua setiausaha negara.

Katanya keputusan itu diambil pada mesyuarat hari ini untuk memberi peluang syarikat berkenaan mencadangkan jalan penyelesaian dan sekiranya tiada maklum balas diberikan maka tindakan selanjutnya boleh diambil.

“Jika tidak ada sebarang respons maka kita akan anggap bahawa mereka tidak berminat untuk menjaga atau mempertahankan bangunan itu.

“Satu opsyen yang ada pada syarikat yang terlibat ialah memohon daripada pemilik tanah untuk membelinya pada harga pasaran semasa dan membayar segala premium dan kelulusan pembangunan serta denda yang akan dikenakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat mengenai isu penyelewengan tanah itu, di Menara DBKL, hari ini.

Pada 11 Januari, Khalid memaklumkan akan mendedahkan perincian mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang dikesan pihaknya bulan lepas berhubung isu pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan persekutuan.

Pada sidang media itu, Khalid juga berkata laporan mengenai penyelewengan tanah tersebut akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pihak atau individu yang terlibat atas kewujudan “bangunan misteri” di tanah bernilai hampir RM20 juta terbabit.

Katanya tidak wajar pihak berkuasa pada ketika itu mengatakan tidak tahu tentang penyelewengan yang berlaku memandangkan terdapat bantahan dibuat oleh 2 Ahli Parlimen pada masa itu dan kes berkenaan turut mendapat liputan media.

“Ini satu petanda wujudnya salah guna kuasa serta penyelewengan yang jelas dan nyata dalam DBKL pada ketika pentadbiran kerajaan terdahulu. Terserah kepada SPRM untuk menyiasat semua yang terlibat dalam projek ini.

“Saya menjangkakan pegawai DBKL yang terlibat akan mengatakan mereka hanya mengikut arahan. (Dalam hal ini) arahan yang jelas adalah apa yang diarahkan oleh menteri wilayah pada ketika itu seperti ‘sila uruskan’, ‘ambil tindakan segera’. Menteri mempunyai minit sekurang-kurangnya 4 kali (mengeluarkan arahan bertulis),” katanya.

Ketika ditanya sama ada pemilik asal tanah pernah mengambil tindakan berhubung perkara itu, Khalid berkata kemungkinan pemilik tidak “berupaya” untuk mengambil sebarang tindakan bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Arahan bagi meluluskan pembinaan bangunan pejabat dan restoran termasuk gerai buah-buahan yang dipercayai milik syarikat tempatan di atas kedua-dua lot tanah itu dibuat pada 2016 dan kerja pembinaan siap pada Februari tahun lepas.

Khalid berkata pencerobohan tanah tersebut bukan satu-satunya kes yang berlaku di Kuala Lumpur dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi kes seumpama itu yang akan dibongkarkan selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.