Pencemar gas toksik Pasir Gudang mesti dijatuhi hukuman setimpal, kata Mapim

Pencemar gas toksik Pasir Gudang mesti dijatuhi hukuman setimpal, kata Mapim

Mapim juga menggesa kerajaan menyemak semula dasar berkaitan operasi kilang yang mengeluarkan bahan toksik di negara ini.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, Malaysia perlu peraturan ketat ke atas kilang pengeluaran bahan atau sisa yang bersifat toksik.
PETALING JAYA:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan bertindak tegas ke atas pencemar yang melibatkan insiden keracunan gas toksik di Pasir Gudang, Johor.

“Kami menggesa kerajaan semak semula dasar berkaitan operasi kilang pengeluaran bahan toksik di negara ini.

“Alasan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan tidak harus mengatasi isu keselamatan manusia dan kualiti alam sekitar, katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita mengejutkan membabitkan seluruh kawasan Pasir Gudang terkesan dan 14 buah sekolah diarah ditutup, sangat serius dan boleh dianggap malapetaka besar,” kata presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid.

“Tidak mungkin mereka yang terlibat tidak tahu akibatnya jika gas beracun bocor dan terlepas ke udara.

“Kilang yang beroperasi lama sudah tentu wajib menjalani penyelenggaraan rapi kerana ia mengeluarkan gas berbahaya.”

Katanya, nereka yang terlibat mesti diheret ke mahkamah untuk menerima hukuman setimpal dan insiden melibatkan ratusan pelajar dan ribuan penduduk di kawasan tersebut wajib disiasat dengan rapi.

“Insiden kritikal yang separah ini memberi isyarat kepada pihak berkuasa supaya semua kawasan perusahaan yang melibatkan pengeluaran bahan sampingan berbahaya seperti gas beracun perlu diperiksa dengan teliti,” katanya.

Kata Azmi, Malaysia perlu mempunyai peraturan ketat ke atas kilang pengeluaran bahan atau sisa yang bersifat toksik.

“Jangan hendaknya insiden buruk berlaku seperti kebocoran radiasi toksik nuklear di Chernobyl, Rusia pada 1986 yang terpaksa memindahkan 45,000 penduduk dari sebuah bandar dan mereka tidak pernah kembali semula ke situ selepas itu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan tragedi di Bhopal, India, pada 1984 di mana 40 tan bahan toksik dilepaskan dari sebuah kilang di situ

Akibatnya, 500,000 orang terdedah kepada gas methyl isocyanate (MIC) dan bahan kimia lain dari kilang Union Carbide. Jumlah yang mati secara rasmi adalah 2,259 seramai orang.

FMT melaporkan, semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup berkuatkuasa serta-merta semalam hinga ke satu tarikh yang akan diumumkan ekoran pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim.

“Kementerian Pendidikan memohon semua pihak ambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” kata menterinya, Maszlee Malik dalam satu kenyataan.

Media melaporkan setakat ini 506 mangsa sedang dirawat, 9 di unit rawatan rapi berikutan kejadian tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.