
Katanya, pembinaan kondominium pencakar langit itu tidak sepatutnya dibenarkan kerana ia terletak di kawasan berkepadatan tinggi, antara beberapa blok kondominium sedia ada dan 2 sekolah.
“Saya hairan bagaimana datuk bandar Kuala Lumpur boleh luluskan projek ‘high density’ macam ini di kawasan sesak dan padat ini,” katanya dalam catatan Facebook sebagai respons kepada satu laporan FMT.
Terdahulu, peguam hartanah Salkukhairi Abd Sukor mencadangkan pembeli kondominium bagi projek Taman Desa di Jalan Klang Lama itu diberikan pilihan membatal atau meneruskan perjanjian pembelian mereka.
Beliau turut menyarankan bank menggantung pembayaran balik pinjaman oleh pembeli kerana lesen jualan pemaju sudah digantung.
Jumaat lalu, sebahagian daripada lantai kolam renang dalam pembinaan di tingkat 6 kondominum itu runtuh dan arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, lesen jualan pemaju bagi kondominium 37 tingkat itu digantung sehingga siasatan selesai.
Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri, menyuarakan kebimbangannya terhadap sebuah lagi projek yang dijalankan di gigi air kolam lombong terbuka berhampiran kondominium runtuh itu.
Katanya, pemaju mula menebang pokok di pinggir kolam “amat dalam” itu.
“Bayangkan apa akan terjadi jika tebingnya runtuh. Datuk bandar Kuala Lumpur tolong tengok. Terima kasih,” katanya merujuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.