
“Fasa kedua menubuhkan pentadbiran peralihan teknokrat Palestin di Gaza, Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG) serta memulakan proses penyahtenteraan penuh dan pembangunan semula Gaza, khususnya pelucutan senjata semua individu bersenjata tidak dibenarkan,” kata Steve Witkoff dalam kenyataan di platform X.
Beliau berkata, AS menjangkakan kumpulan Hamas mematuhi sepenuhnya kewajipannya di bawah perjanjian itu, termasuk “pemulangan segera tawanan terakhir yang meninggal dunia”.
“Kegagalan berbuat demikian akan membawa kesan serius.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Turki, Mesir dan Qatar “atas usaha pengantaraan amat diperlukan sehingga membolehkan semua kemajuan setakat ini dicapai”.
Terdahulu, kumpulan Palestin pada awal Rabu menyuarakan sokongan terhadap penubuhan badan pentadbiran peralihan bagi Gaza, sambil menggesa langkah pantas diambil bagi membolehkan ia mengambil alih tanggungjawab tadbir urus wilayah itu dengan segera.
Pendirian itu diumumkan dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat di Kaherah yang diadakan atas jemputan Mesir dan bawah naungan Presiden Abdel Fattah al-Sisi, menurut saluran berita Mesir, Al-Qahera News.
Menurut kenyataan itu, kumpulan terbabit menekankan keperluan mewujudkan keadaan sesuai untuk badan peralihan itu segera mengambil alih tanggungjawab penuh mengurus kehidupan harian di Gaza, termasuk perkhidmatan awam penting.
Mereka berkata, badan itu akan bekerjasama dengan sebuah “majlis keamanan” dan jawatankuasa eksekutifnya, yang dijangka menyelia proses kelulusan serta pelaksanaan pembangunan semula Gaza.
Rakyat Palestin menuduh Israel berulang kali melanggar gencatan senjata untuk menghentikan serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 lagi sejak Oktober 2023.
Hampir 450 rakyat Palestin maut dan lebih 1,200 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata itu, menurut Kementerian Kesihatan.
Israel juga enggan membuka semula lintasan sempadan ke Gaza meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai pada November 2025, menggesa gencatan senjata kekal dan menyeluruh di wilayah itu, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta pembangunan semula wilayah berkenaan.