
Menteri Luarnya, Sugiono berkata Indonesia kini ahli lembaga itu dan penyertaannya tidak bergantung kepada sebarang sumbangan kewangan tetap.
“Sejak awal saya katakan ini bukan yuran keanggotaan. Ia bukan syarat untuk menjadi ahli, tidak. Kami sudah menjadi ahli sekarang; walaupun kami tidak membayar, itu tidak mengapa,” katanya dalam sidang media di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat (waktu tempatan).
Rakaman video sidang media itu dimuat naik ke YouTube Sekretariat Presiden pada Sabtu.
Sugiono menjelaskan USD1 bilion pernah dibincangkan berkaitan status tetap dalam lembaga berkenaan, namun menegaskan ia bukan keperluan atau syarat wajib keanggotaan.
“Sesetengah negara menyumbang wang, ada yang menyumbang pasukan tentera…dan ada yang menghantar sumbangan individu ke sebuah akaun di Bank Dunia.”
Dalam mesyuarat pertama BoP di Washington, Presiden Prabowo Subianto menegaskan komitmen Indonesia menyumbang sehingga 8,000 tentera atau lebih, jika perlu, untuk mengambil bahagian secara aktif dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, Palestin.
Mengenai penempatan tentera, Sugiono berkata, kos menghantar tentera itu akan ditanggung Indonesia sepenuhnya.
Katanya, jemputan kepada Indonesia untuk menjadi timbalan komander ISF adalah penghormatan dan pengiktirafan terhadap rekod negara serta reputasi tentera Indonesia dalam pelbagai misi pengaman.
Jawatan itu, menurutnya, akan memudahkan koordinasi dan keberkesanan operasi dalam misi berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), Ali Shaath dalam mesyuarat BoP memastikan wakil Palestin mengetahui dan menerima rancangan menempatkan anggota Indonesia dalam ISF.
Beliau berharap penyertaan Indonesia dalam ISF akan membantu memenuhi seruan Shaath untuk mengekalkan gencatan senjata dan memastikan keadaan selamat serta stabil sepanjang proses pemulihan di Semenanjung Gaza.