Rundingan seterusnya Kod Tatalaku Laut China Selatan di Singapura

Rundingan seterusnya Kod Tatalaku Laut China Selatan di Singapura

Jurucakap hal ehwal maritim Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Rogelio Villanueva berkata pegawai kanan dari China dan Asean akan bertemu di Singapura minggu depan.

Laut Malaysia instead of South China Sea
Peningkatan kekerapan rundingan selaras usaha Filipina selaku pengerusi Asean tahun ini untuk mempercepat dan memuktamadkan Kod Tatalaku Laut China Selatan menjelang akhir 2026.
MANILA:
Pusingan rundingan seterusnya Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan akan diadakan pada minggu terakhir Februari, lapor Agensi Berita Filipina memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA).

Jurucakap hal ehwal maritim DFA, Rogelio Villanueva, berkata pegawai kanan dari China dan Asean akan bertemu di Singapura.

Peningkatan kekerapan rundingan itu selaras usaha Filipina, selaku pengerusi Asean tahun ini, untuk mempercepat rundingan dan memuktamadkan CoC menjelang akhir 2026.

“Sebagai pengerusi Asean, Filipina komited meneruskan momentum dalam rundingan Kod Tatalaku yang substantif dan berkesan.

“Kami bersedia memudahkan lebih banyak mesyuarat. Malah, dengan kerjasama negara anggota Asean lain dan China, kami mengadakan mesyuarat secara bersemuka setiap bulan bagi meningkatkan peluang berunding,” katanya dalam sidang media di Pasay City pada Jumaat.

Dari aspek dua hala, Villanueva berkata, DFA terus melibatkan China bagi menangani ketegangan dan menyelesaikan pertikaian Laut Filipina Barat melalui cara aman serta diplomatik.

Kedua-dua pihak sedang membincangkan jadual bagi Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) Filipina-China mengenai Laut China Selatan seterusnya.

Beliau berkata, Manila juga sedang memperkukuh pakatan dan perkongsian bagi menegakkan orde maritim berasaskan peraturan yang berpaksikan undang-undang antarabangsa.

Filipina kini mengekalkan 11 dialog maritim untuk meningkatkan keupayaannya.

“Walaupun DFA memperdalamkan pakatan dan perkongsian dengan negara mempunyai pemikiran serupa, ia juga mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan China untuk meneruskan dialog jujur, membina serta kerjasama praktikal,” kata Villanueva.

Sementara itu, beliau menyambut baik kesediaan Senat mengadakan perbincangan dengan Kedutaan China di Manila.

Menurutnya, DFA melihat rancangan dialog itu “peluang untuk perbincangan telus, mesra dan profesional – yang dapat menangani perbezaan kedudukan secara berterus-terang sambil mengenal pasti bidang persefahaman bersama”.

Senat sedang menyelaras dengan pihak kedutaan bagi menetapkan tarikh mesyuarat itu, katanya.

“Jika Senat hubungi DFA, kami pastinya sedia menghulurkan bantuan diperlukan,” kata Villanueva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.