10 maut serangan Israel di timur Lubnan

10 maut serangan Israel di timur Lubnan

Lebih 30 cedera dalam serangan udara Israel menyasarkan sebuah bangunan di Bandar Riyaq dalam Daerah Baalbek, timur Lubnan.

Bednayel, timur Lubnan selepas serangan udara Israel pada Jumaat. (Gambar EPA Images) 21226
Keadaan sebuah kawasan di Bednayel, timur Lubnan selepas serangan udara Israel pada Jumaat. (Gambar EPA Images)
BEIRUT:
Angka kematian akibat serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di Bandar Riyaq dalam Daerah Baalbek, timur Lubnan, meningkat kepada 10 orang, manakala lebih 30 lagi cedera mengikut statistik awal, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) pada Jumaat malam melaporkan 10 terbunuh dan lebih 30 kecederaan direkodkan dalam jumlah tidak muktamad susulan serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Riyaq, sambil menambah operasi mencari dan menyelamat bawah runtuhan masih diteruskan.

Kumpulan Hizbullah pula mengumumkan kematian pemimpinnya, Hussein Mohammad Yaghi dalam serangan Israel di Riyaq.

Terdahulu, jet pejuang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa kawasan di Daerah Baalbek pada petang Jumaat.

Menurut agensi itu, satu daripada serangan menyasarkan sebuah bangunan di Riyaq sehingga memusnahkan struktur berkenaan sepenuhnya.

Pesawat Israel turut melancarkan dua serangan di dataran bandar Qasr Naba dan Tamnine al-Tahta di Baalbek, serta tiga lagi serangan di kawasan Shaara sepanjang kaki banjaran gunung timur Lubnan.

Serangan terbaharu itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berulang kali Israel terhadap perjanjian gencatan senjata pada November 2024, yang mengorbankan serta mencederakan ratusan rakyat Lubnan. Israel terus menduduki lima puncak bukit Lubnan yang dirampas dalam perang terbaharu, selain wilayah lain di Lubnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.