
Lebih membanggakan mesin jahit itu juga telah berkhidmat menghasilkan songkok untuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta nama-nama besar yang lain.
Haja Mohideen Mohd Sharif bukanlah nama asing bagi penduduk di sini kerana dia telah menjalankan perniagaan membuat songkok turun temurun bermula dari membantu ayahnya di awal pembukaan kedai sejak 1936.
Lebih menarik lagi bila dia terus menggunakan mesin jahit warisan dari ayahnya itu yang hampir sebaya dengannya, untuk meneruskan perniagaan tersebut.
Kedai berukuran 1.8m dan 3.6m yang terletak bersebelahan Masjid Nagore Durgha di Lebuh King di sini menjadi saksi, Haja Mohideen setia menggunakan mesin jahit berwarna hitamnya itu saban hari menyiapkan tempahan songkok pelanggan.
“Mesin ini sudah lama (berbakti) dengan arwah ayah saya dan merupakan warisan yang sangat berharga buat saya.
“Jika dulu penghasilan songkok dibuat 100 peratus menggunakan jahitan tangan dan mesin ini akan menjahit perincian songkok agar lebih halus,” ujarnya.
Menurut Haja Mohideen lagi, dia akan membaiki sendiri mesin tersebut jika terdapat sebarang kerosakan, kerana tahu apa yang perlu dibetulkan.
“Mesin jahit ini mempunyai nilai sentimental kepada saya, tidak mungkin saya akan jual. Pernah satu ketika, ada individu menawarkan RM3,000 untuk membeli namun saya tolak,” katanya.
Mengimbau kenangan, Haja Mohideen berkata dia mula menghasilkan songkok pertama ketika berusia 12 tahun ketika membantu bapanya berniaga setelah pulang dari sekolah.
“Dulu saya hanya dibenarkan untuk membantu memotong kain dan kerja-kerja kecil, tetapi kerja-kerja menggunakan mesin dilakukan oleh arwah ayah.
Sejak kecil, saya menyaksikan satu demi satu songkok dan tarbus yang dijual kepada pelanggan menggunakan mesin ini malah sehingga kini pelanggan tetap setia membuat tempahan terutama pada hari raya, majlis pernikahan, sekolah dan sebagainya,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
Menurut Haja Mohideen, hanya dia yang mewarisi kebolehan penghasilan songkok daripada bapanya kerana selesai zaman persekolahan, dia bekerja sebagai pembuat songkok sepenuh masa.
Bapa kepada dua anak itu berkata suatu ketika dahulu, masih ramai individu yang menghasilkan songkok secara tradisional, namun setelah mereka meninggal dunia, tidak ada waris yang sanggup meneruskan legasi itu.
Terangnya, proses penghasilan songkok dimulakan dengan penyediaan rangka dalaman yang dibuat daripada 18 lapisan terdiri daripada kertas surat khabar lama yang dijahit dengan satu lapisan kertas coklat dan lapisan kain.
Haja Mohideen berkata lapisan itu kemudiannya dipotong menjadi bentuk bujur manakala rangka berbentuk segi empat tepat daripada bahan yang sama digunakan untuk membuat bahagian tepi songkok.
“Tahun ini tidak seperti sebelumnya, permintaan semakin tinggi kerana orang ramai tidak lagi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami menawarkan harga songkok serendah RM20 sehingga RM45, katanya.
Memandangkan banyak tempahan yang diterima, Haja Mohideen kini melatih menantunya, Abdul Kader Mydin untuk membantunya dan mereka mungkin perlu bekerja sehingga malam raya untuk menyiapkan tempahan orang ramai.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]