
Nota Pengarang: Darren Chan Eu Boon mengaku bersalah pada Ogos 2022 atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung hantaran bertajuk “Top 10 Sugar Baby University in Malaysia” dan membayar denda sebanyak RM7,000. Beliau tidak pernah didakwa atas kesalahan rogol atau pelacuran; waran tangkap terhadapnya telah dibatalkan dan Sugarbook tidak diisytiharkan sebagai haram.
Walaupun isu itu pernah dibangkitkan semasa pentadbiran lepas, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Taufik Yaacob berkata “Pakatan Harapan semasa berkuasa seolah-olah tidak berminat menjaga agama dan kemuliaan adat resam kita.”
Beliau memuji Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan polis atas ketegasan mereka “menjaga akhlak dan maruah rakyat”.
Taufik juga menyeru tindakan tegas itu perlu disusuli dengan usaha menjadikan masyarakat “bangsa yang menyanjung tinggi akhlak mulia dan menolak maksiat yang berleluasa”.
“Inilah perbezaan antara PH yang membiarkan saja akhlak rakyat runtuh, berbanding Perikatan Nasional yang mahu memastikan negara kita sentiasa berada dalam kerangka yang mulia dan barakah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, polis menahan pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b), 372(1)(d), dan 372B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.