Jemaah Menteri setuju ratifikasi perjanjian perdagangan trans-pasifik

Jemaah Menteri setuju ratifikasi perjanjian perdagangan trans-pasifik

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jumlah dagangan akan meningkat kepada USD655.9 bilion pada 2030 menerusi CPTPP.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia sebelum ini menggesa Putrajaya meratifikasi perjanjian perdagangan itu kerana ia mampu meningkatkan pemulihan ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Bernama melaporkan Malaysia secara rasminya menyerahkan instrumen ratifikasi untuk perjanjian perdagangan itu kepada New Zealand sebagai depositari CPTPP pada 30 Sept lalu.

Kementerian itu berkata, analisis kos-manfaat ke atas unjuran jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat kepada USD655.9 bilion pada 2030 menerusi CPTPP.

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), antara lain, menggesa Putrajaya meratifikasi perjanjian perdagangan itu kerana ia mampu meningkatkan pemulihan ekonomi.

Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia turut menggesa kerajaan meratifikasi CPTPP disebabkan potensi kesan positifnya terhadap ekonomi.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu berkuat kuasa untuk Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand dan Singapura pada Disember 2018, Vietnam pada Januari 2019 dan Peru pada September 2021.

Kini, Brunei dan Chile satu-satunya negara yang belum menyelesaikan proses ratifikasi masing-masing.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan berkata China, Taiwan, Ecuador dan Costa Rica telah memohon untuk menyertai CPTPP, memberikan pengeksport Malaysia akses pasaran lebih luas dan mendalam.

Katanya, ratifikasi dan pelaksanaan perjanjian perdagangan itu akan menyaksikan Malaysia bangkit lebih terkenal sebagai ekonomi perdagangan global. Menjelang 1 Jan 2033, hampir semua eksport ke negara anggota CPTPP akan bebas cukai.

“Eksport Malaysia diunjurkan mencecah USD354.7 bilion pada 2030, dengan imbangan dagangan kekal dalam lebihan kukuh pada 8.5% daripada keluaran dalam negara kasar bagi tahun sama.

“Sebaik saja CPTPP dikuatkuasakan di Malaysia, semua eksport ke Australia dan Singapura akan memasuki pasaran ini tanpa dikenakan sebarang duti. Pada 2024 dan 2029, semua produk Malaysia yang dieksport ke New Zealand dan Kanada, masing-masing akan memasuki negara ini tanpa cukai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.