
Fahmi berkata dalam isu ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpandangan tidak seharusnya berlaku apa-apa keadaan yang menghalang orang ramai daripada membuat laporan polis.
“Ketua setiausaha negara akan meneliti semula pekeliling 2020 dan buat beberapa penambahbaikan susulan keputusan Jemaah Menteri supaya perkhidmatan barisan hadapan tertentu, seperti kesihatan dan keselamatan termasuk balai polis, diberikan pengecualian di bawah pekeliling tersebut.
“Perkara ini dipertimbangkan dengan teliti oleh pejabat ketua setiausaha negara. Satu pekeliling yang dikemas kini dijangka dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Perkembangan itu susulan insiden seorang wanita yang dilarang masuk ke IPD Jasin kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan. Wanita itu didakwa memakai skirt yang sedikit melepasi paras lutut.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mengingatkan orang ramai supaya mematuhi kod pemakaian rasmi apabila berurusan di mana-mana kaunter aduan.
Beliau berkata garis panduan itu diperincikan dalam pekeliling yang dikeluarkan ketua setiausaha negara bagi menambah baik hubungan pelanggan di agensi awam, namun berkata pengecualian diberikan dalam situasi kecemasan atau keadaan yang memerlukan tindakan polis serta-merta.