
Perkara itu disahkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) malam tadi, menurut laporan saluran berita CNA.
Polis mengesahkan penahanan itu sebagai menjawab pertanyaan media mengenai punca kematian mengejut Ravi pada usia 56 tahun semalam.
Ravi dikenali atas advokasi hak asasi manusianya dan pembelaan terhadap banduan hukuman mati, termasuk sekurang-kurangnya dua rakyat Malaysia yang ditangkap berkaitan kes dadah di Singapura.
Polis berkata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan kecemasan berkenaan satu kes di sebuah pangsapuri kira-kira 5.40 pagi semalam.
Paramedik turut dipanggil untuk memberi rawatan kepada Ravi. Beliau kemudian dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
CNA melaporkan polis berkata terdapat seorang lagi individu berada di pangsapuri tersebut ketika SCDF tiba. Individu itu, yang dikenali sebagai ‘A’ oleh polis, adalah individu yang menghubungi SCDF.
Menurut polis, ‘A’ memberitahu bahawa dia dan Ravi mengambil dadah beberapa jam sebelum itu dan Ravi menunjukkan ‘simptom membimbangkan’ selepas mengambil dadah berkenaan.
‘A’ berkata beliau telah melakukan CPR ke atas Ravi. Polis turut memaklumkan bahawa ‘A’ mengaku dadah tersebut adalah miliknya.
CNA melaporkan berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kematian Ravi, namun masih menunggu keputusan bedah siasat.
CNB telah menahan ‘A’ atas kesalahan penyalahgunaan dadah.