
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, langkah Muhyiddin berundur daripada jawatan tertinggi PN mungkin sebahagian percaturan strategik, khususnya apabila PAS masih belum mengemukakan tokoh benar-benar berkaliber untuk mengetuai gabungan itu.
“Hakikatnya, Muhyiddin tahu PAS tidak mempunyai individu yang boleh diketengahkan sebagai calon perdana menteri setakat ini. Alasan kononnya perlu persetujuan Majlis PN hanya menutup realiti itu,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, perkembangan itu turut dipengaruhi kemelut dalaman PN, termasuk peletakan jawatan beberapa pimpinan utama serta persaingan kepimpinan antara PAS dan Bersatu, yang menurutnya ‘mengacau-bilaukan’ kestabilan gabungan pembangkang.
“Jika PN terus berpecah dan gagal menampilkan kepimpinan jelas, keadaan ini memudahkan Pakatan Harapan bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menekan PN, termasuk di negeri SG4,” katanya.
Muhyiddin meletak jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu, susulan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan pertukaran menteri besar antara PAS dan Bersatu.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu menegaskan beliau kekal sebagai presiden Bersatu dan komited memastikan parti terus bekerjasama dalam PN.
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan Muhyiddin berdepan kesukaran besar untuk kembali ‘mendaki’ ke jawatan tersebut.
Katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu kini berdepan landskap dalaman parti yang tidak sepenuhnya stabil, sekali gus menjadikan kedudukan politiknya rapuh untuk muncul semula sebagai calon perdana menteri.
Namun, beliau berkata Muhyiddin masih memiliki pengaruh politik dan sokongan dalam kalangan orang Melayu, sekali gus membolehkannya memainkan peranan lain yang signifikan dalam pakatan pembangkang.
“Peranan beliau kini lebih sesuai sebagai tulang belakang atau ‘de facto leader’ untuk menstabilkan Bersatu dan mengekalkan sokongan Melayu kepada PN, bukan sebagai calon perdana menteri,” katanya.
Tawfik juga tidak menolak kemungkinan Muhyiddin muncul semula dalam pertimbangan jika PRU16 menghasilkan Parlimen tergantung atau memerlukan pembentukan gabungan besar.
“Dari sudut Perlembagaan, tidak ada halangan untuk beliau dilantik sebagai perdana menteri jika mendapat sokongan majoriti. Politik itu dinamik, tiada kawan atau musuh yang kekal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PAS dan kepimpinan PN dilihat lebih cenderung mencari wajah baharu untuk mencetuskan gelombang sokongan baharu, memandangkan kepimpinan sedia ada dianggap sudah ‘tepu’, termasuk dalam usaha menarik sokongan bukan Melayu.
“Tekanan daripada PAS dan konflik dalaman itulah yang mendorong Muhyiddin berundur. Ini isyarat bahawa pembangkang sedang mencari hala tuju baharu,” katanya.