Mahkamah Persekutuan medan terbaik tentukan hukuman pesalah kanak-kanak, kata peguam

Mahkamah Persekutuan medan terbaik tentukan hukuman pesalah kanak-kanak, kata peguam

Abdul Rashid Ismail berkata, nasib banduan sedemikian, yang ditahan 'atas limpah perkenan Agong', lebih malang berbanding pesalah dewasa.

istana kehakiman Federal Court
Panel hakim Mahkamah Persekutuan akan putuskan pada 5 Mac ini sama ada untuk benar permohonan didengar.
PUTRAJAYA:
Banduan kanak-kanak mempunyai hak perlembagaan dan mahkamah tertinggi negara boleh mendengar aduan mereka melalui mekanisme semakan, kata seorang peguam.

Abdul Rashid Ismail, ketika berhujah di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, mahkamah tertinggi boleh memberikan remedi di bawah Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Aturan 137 memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusannya bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Rashid berkata, nasib tujuh bekas banduan kanak-kanak yang ditahan ‘atas limpah perkenan Raja’ kini lebih malang berbanding banduan dewasa, susulan pindaan undang-undang hukuman mati.

“Tiada remedi yang berkesan dan alternatif tersedia, dan perkara ini melanggar hak perlembagaan mereka,” kata peguam itu yang memohon kebenaran hukuman tujuh banduan itu disemak.

Rashid menegaskan, beberapa banduan dewasa merujuk mahkamah tertinggi dan hukuman mati mereka digantikan dengan tempoh penjara tetap di bawah undang-undang peruntukan khas.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi serta Hakim-hakim Rhodzariah Bujang, Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah turut mendengar permohonan tersebut.

Menurut Rashid, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk menangani hak perlembagaan mereka, bukannya Lembaga Pengampunan mahupun Lembaga Hakim Pelawat yang ditubuhkan di bawah Seksyen 97(4) Akta Kanak-kanak.

Permohonan tersebut melibatkan banduan yang disabitkan dengan kesalahan berat ketika bawah umur dan dijatuhi hukuman tahanan tanpa tempoh tetap mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Antara pemohon tersebut ialah Nguyen Doan Nhan, 26, seorang warga Malaysia berketurunan Vietnam yang dipenjarakan di Penjara Kluang selama hampir sedekad sejak ditangkap pada Februari 2015 ketika berusia 17 tahun.

Dia disabitkan atas kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi pada 2017. Namun, disebabkan faktor usianya semasa kejadian, dia dihukum untuk ditahan atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai ganti hukuman mati mandatori.

Pemohon lain terdiri daripada N Harichandran, R Nomalan dan Hafizul Hafiq Masri bagi kesalahan membunuh; Wong Soon Heng dan Leong Soon Long bagi kes membunuh dan menculik; serta Aiman Al-Rashid Yaacob bagi kesalahan mengedar dadah. Kesemua enam individu tersebut kini berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Memandangkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak, mereka kini terus meringkuk di dalam penjara tanpa sebarang garis masa pembebasan yang jelas.

Kumpulan banduan itu menghujahkan bahawa penahanan berterusan tanpa tempoh tetap melanggar hak mereka untuk hidup dan mendapat layanan saksama di sisi undang-undang, susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Mereka kini memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula hukuman tersebut, dengan kemungkinan diberikan tempoh pemenjaraan tetap sebagai ganti penahanan tanpa tempoh tetap.

Di bawah pindaan 2023 itu, hukuman mati mandatori digantikan dengan hukuman mati atas budi bicara atau pemenjaraan, manakala hukuman penjara sepanjang hayat turut dihapuskan daripada undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhujah, mekanisme semakan sebenarnya telah diperuntukkan di bawah Peraturan 53 dan 113 Peraturan-peraturan Penjara 2000 serta Seksyen 97 Akta Kanak-kanak.

Saiful berkata, lembaga pengampunan masing-masing bertanggungjawab menyemak kes kanak-kanak dan memutuskan sama ada untuk membebaskan mereka atau mengekalkan mereka dalam tahanan.

Panel hakim akan memutuskan pada 5 Mac ini sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut didengar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.