Inkues Zara Qairina : Pengetua dakwa tak dimaklum mengenai kenyataan bertulis pelajar

Inkues Zara Qairina : Pengetua dakwa tak dimaklum mengenai kenyataan bertulis pelajar

Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Shaharoom Hashim berkata beliau hanya tahu pihak sekolah menjalankan dua siasatan dalaman.

zara qairina
Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Shaharoom Hashim berkata beliau tidak pernah dimaklumkan oleh unit disiplin mengenai wujudnya kenyataan bertulis lima pelajar berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.

Saksi ke-47 itu memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini, beliau hanya mengetahui pihak sekolah sudah menjalankan dua siasatan dalaman pada 16 dan 17 Julai.

“Bagi siasatan pada 16 Julai, saya dimaklumkan secara lisan pada awal pagi 17 Julai.

“Saya diberitahu bahawa pada 16 Julai, satu siasatan sudah dijalankan di surau, di mana pelajar ditemu bual secara lisan.

“Bagaimanapun, unit disiplin tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai kenyataan bertulis berkenaan,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menurut Harian Metro.

Pada 25 November tahun lalu, seorang guru Bahasa Arab dari sekolah berkenaan mendedahkan, dokumen yang mengandungi kenyataan pelajar mengenai insiden itu disimpan oleh unit disiplin sekolah dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak berkuasa, termasuk polis.

Menurut Shaharoom, bekas ketua warden sekolah, Azhari Abdul Sagap, sudah memaklumkan kepadanya mengenai kewujudan kenyataan bertulis berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kepada peguam Shahlan Jufri bahawa beliau hanya mengetahui tentang kenyataan bertulis itu ketika inkues berlangsung, yang bermula pada 3 September tahun lalu.

Pada prosiding itu, Shahlan mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Tambahnya lagi, beliau dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, tiga minggu selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai di asrama sekolah dan tidak berkesempatan membaca kenyataan terbabit.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.