
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata rampasan dengan kerjasama Australian Federal Police (AFP) itu susulan maklumat risikan berhubung dua kontena kapal dari negara Timur Tengah dipercayai mengandungi dadah yang transit di Pelabuhan Klang sebelum dijadualkan dihantar ke negara berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 17 Januari dan didaftarkan untuk membawa minyak zaitun serta air minuman berperisa buah-buahan.
“Dalam operasi itu, kita menjalankan pemeriksaan ke atas dua kontena 20 kaki yang berada di perkarangan Pejabat Polis Pelabuhan, Pulau Indah.
“Pemeriksaan ke atas kontena pertama menemukan sebanyak 408 kotak yang mengandungi 6,528 botol berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 4,064 kg,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau berkata polis turut menemukan 1,831 karton air minuman yang mengandungi 54,930 kotak air minuman berisi cecair disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 9,887.4 kg dalam kontena kedua.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan terbabit berjumlah RM80.3 juta.
“Menerusi rampasan ini, kita berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan dadah jenis MDMA dan heroin bagi pasaran antarabangsa.
“Kita sedang mengesan sindiket terlibat. Kita percaya ia adalah sindiket antarabangsa yang menjadikan Pelabuhan Klang sebagai transit sebelum ke Australia,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.