
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Reezal Merican Naina Merican berkata jangkaan itu realistik berdasarkan prestasi perdagangan negara yang terus menunjukkan daya tahan, selain sokongan daripada strategi kepelbagaian pasaran dan peningkatan nilai tambah produk eksport.
“Kita optimis untuk mencapai pertumbuhan antara 3% hingga 5% tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pasca Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 di Matrade.
Reezal berkata demikian ketika ditanya mengenai sasaran peningkatan jumlah perdagangan Malaysia untuk tahun ini.
Jumlah perdagangan Malaysia pada tahun lalu, mencecah RM3 trillion buat pertama kali dalam sejarah, sekali gus mencatat trend perdagangan positif tertinggi pernah direkodkan.
Terdahulu, dalam ucapannya Reezal berkata kejayaan itu hasil strategi kepelbagaian pasaran serta pemerkasaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di tengah persekitaran ekonomi global yang mencabar.
“Ketika syarikat global mula mencari rakan baharu, lokasi rantaian bekalan baharu dan hab yang lebih stabil, Malaysia memilih untuk tampil ke hadapan dan meningkatkan keupayaan,” katanya.
Tambahnya, prestasi cemerlang itu didorong oleh pendekatan kepelbagaian strategik bukan sahaja dari segi pasaran, malah perubahan minda dalam menarik rakan dagang dan pelaburan baharu.
Kata Reezal, syarikat antarabangsa kini mula mencari lokasi rantaian bekalan alternatif dan hab baharu yang lebih stabil.
“Sebagai contoh, industri Elektrik & Elektronik (E&E) serta semikonduktor negara bukan sekadar menumpang lonjakan permintaan, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penghubung penting dalam rantaian inovasi global.
“Inilah sebabnya pemain industri peringkat antarabangsa terus kembali melabur dan bekerjasama dengan kita,” katanya.