
Sehubungan itu, beliau menafikan laporan sebuah media memetik sumber Bersatu mendakwa ketamakan PAS menjadi punca krisis pengerusi PN berlarutan.
Membidas label PAS sebagai tamak itu, Fadhli berkata PAS tidak tamak jawatan yang terbukti apabila tidak menuntut jawatan pengerusi PN dan ketua pembangkang walapun menang banyak kerusi pada PRU15.
“Jika PAS tamak, sejurus selepas PRU, PAS akan terus menuntut jawatan pengerusi PN kerana jumlah kerusi PAS lebih banyak.
“Tetapi PAS hanya bangkitkan soal Pengerusi PN hanya selepas melihat arah tuju Bersatu yang semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada PN,” katanya di Facebook.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas tidak merujuk kepada mana-mana insiden untuk menyokong dakwaannya yang Bersatu telah hilang arah tuju.
Namun kemelut Bersatu bermula pada Perhimpunan Agung Tahunan, September lalu, menyaksikan kemunculan isu akuan bersumpah (SD) berkait kedudukan Muhyiddin.
Kemelut memuncak apabila beberapa pemimpin Bersatu dipecat antaranya Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantun keahliannya.
PAS menawarkan diri mengetuai PN selepas Muhyiddin meletak jawatan pengerusi berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Isu itu yang berlarutan sejak sebulan lalu dilihat sukar diselesaikan dalam masa terdekat susulan perkembangan terkini dalam gabungan itu.
Tebaharu ketidakhadiran Presiden PAS Hadi Awang dalam pertemuan membabitkan presiden komponen di kediaman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Pertemuan itu dipanggil Muhyiddin tidak lama selepas mesyuarat majlis tertinggi PN yang dijadualkan pada malam sama dibatalkan.
Mesyuarat yang dibatalkan itu untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan, yang berkuat kuasa pada 1 Jan.
Sebelum pertemuan empat presiden dalam PN itu, PAS menafikan dakwaan Muhyiddin dalam satu surat yang parti itu dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi.
Menurut Muhyiddin, langkah itu sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif.