
AlFadli Awaludin, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, AlFadli didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Feb lalu kira-kira jam 7 malam di perkarangan Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dia didakwa mengeluarkan kata-kata, ‘Takkan mahu bakar suar di dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke’, terhadap seorang penjawat awam.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu bulan sekiranya gagal bayar denda.
Mahkamah kemudian menawarkan ikat jamin RM1,000 dan menetapkan 5 Mac depan bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Sementara itu, di mahkamah sama, tiga lagi penyokong masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen yang sah.
Hafiz Azim Abdul Halim, 25, Haiqal Jemerizan, 22, dan Mohd Amrin Abdul Halim, 29, mengaku salah memiliki suar tanpa lesen yang sah, pada 1 Feb, jam 8.45 malam hingga 9.30 malam di perkarangan IPD Kuala Terengganu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu di mahkamah berasingan, lima lagi penyokong turut didenda antara RM2,800 hingga RM3,200 dan berdepan empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan memiliki suar.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Aliff Aiman Norazman, 23, Syafiq Waliuddin Mohd Anuar, 25, Hamizan Zafri Ahmad Fauzansah, 25, Ashraff Azhar Mohd Radzi, 23, dan Noor Akmal Danish Noor Azli, 26.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.