
Ketua Polis Kuala Selangor, Azaharudin Tajudin, berkata mereka menerima laporan kejadian itu pada 11.12 malam, 29 Januari lalu.
Katanya, laporan terbabit dibuat seorang wanita yang memaklumkan anak perempuannya berada dalam keadaan tersedu, lembik dan tidak normal ketika berada di rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Alam Perdana.
“Bayi itu kemudian dibawa pulang ke rumah pengadu dan didapati tidak sedarkan diri.
“Mangsa seterusnya dibawa ke sebuah klinik sebelum dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.
Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menyiasat kejadian berkenaan.
Justeru, Azharudin turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.