
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman itu ke atas Saiful Adli Yusof, 52, dan memerintahkan lelaki itu dipenjarakan lapan bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras pada 4.05 petang 8 Feb.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bapa empat orang anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kerana mengugut mangsa di tempat dan lokasi sama.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca daripada kemalangan melibatkan kereta Proton Wira dipandu mangsa dan Toyota Vellfire dipandu Saiful di Jalan Cheras-Hulu Langat pada 3.45 petang.
Mangsa didakwa meneruskan perjalanan ke Taman Suntex kerana takut dan Saiful yang mengekori dikatakan menahan kenderaan mangsa di lampu isyarat sebelum bertindak menendang kereta terbabit.
Apabila mangsa keluar dari kenderaan, Saiful terus menumbuk dan menendang mangsa sehingga cedera pada muka, mata lebam, dagu bengkak serta lidah berdarah, selain turut mengugut mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Muhammad Syakir Haznal yang mewakili Saiful memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
Beliau berkata, anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan dan pencari nafkah tunggal dalam keluarga serta menanggung isteri dan empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari selain ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.