Wakil Pendang cadang Ahli Parlimen jalani pemeriksaan mental

Wakil Pendang cadang Ahli Parlimen jalani pemeriksaan mental

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau sedia pertimbang cadangan oleh Awang Hashim dari PN itu.

Johari Abdul Awang Hashim
Johari Abdul berkata pemeriksaan mental mungkin boleh dimulakan dengan Awang Hashim (PN-Pendang) yang mencadangkannya.
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul sedia mempertimbangkan cadangan supaya semua Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Beliau menyatakan kesediaan selepas perkara itu dicadangkan oleh Awang Hashim (PN-Pendang).

“Kita akan mempertimbang pandangan, cadangan Pendang mungkin kita mula dengan Pendang dulu,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Awang membuat cadangan itu sebagai langkah tambahan kepada arahan mewajibkan semua Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ini.

“Terima kasih sebab speaker telah arahkan kepada semua Ahli Parlimen buat pemeriksaan kesihatan.

“Kalau Tan Sri (speaker) boleh arahkan untuk jaga kelestarian alam ini, saya cadang pemeriksaan mental, bipolar atau mental disorder ini kalau boleh dibuat kepada Ahli Parlimen.

“Kalau kena kepada saya, saya terima, tak ada masalah. Kalau boleh speaker keluar arahan buat pemeriksaan kesihatan mental,” katanya.

Sebelum ini, Johari mengumumkan semua Ahli Parlimen wajib menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membantu mengesan tahap kesihatan mereka.

Katanya, nama Ahli Parlimen yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan akan dipaparkan di laman sesawang Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.