Mahkamah Rayuan benar Najib hadir 2 prosiding rayuan sivil

Mahkamah Rayuan benar Najib hadir 2 prosiding rayuan sivil

Prosiding berkait saman Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan permohonan Najib Razak mula prosiding hina mahkamah terhadap bekas AG Terrirudin Salleh.

NAJIB RAZAK
Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghadiri dua prosiding rayuan sivil.

Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Wong Kian Kheong, Firuz Jaffril dan Nadzarin Wok Nordin.

Bernama melaporkan peguam Najib, Wan Arfan Wan Othman, memfailkan permohonan ex parte bagi mendapatkan perintah untuk memastikan kehadiran anak guamnya pada prosiding tersebut. Peguam M Naresh turut hadir.

Rayuan pertama daripada saman fitnah yang difailkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad terhadap Najib, di mana Dzulkefly mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi menarik diri daripada mendengar kes itu.

Dzulkefly memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi pada 2022, dengan mendakwa Najib menerbitkan hantaran Facebook berunsur fitnah pada 24 Ogos 2020 berhubung dakwaan kronisme.

Pada Julai tahun lalu, Arziah menolak permohonan Dzulkefly yang memohon supaya beliau menarik diri daripada mengendalikan kes itu.

Rayuan kedua difailkan Najib selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada September lalu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding hina mahkamah terhadap bekas peguam negara Terrirudin Salleh, yang kini merupakan hakim Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu berkaitan titah addendum yang didakwa membenarkan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Rayuan dalam saman Dzulkefly dijadualkan didengar pada 24 Feb, manakala rayuan Najib ditetapkan pada 13 Mac.

Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd. Hukuman asal penjara 12 tahunnya dikurangkan separuh oleh lembaga pengampunan pada Februari 2024, dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib juga disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB, yang mana beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu merayu keputusan tersebut.

Dalam prosiding hari ini, Wan Arfan tidak membantah Wong dan Firuz dalam panel selepas pendedahan mereka dibuat.

Wong sebelum ini memberitahu beliau anggota panel Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, dan isterinya pula pernah berkhidmat sebagai pesuruhjaya semakan undang-undang ketika Terrirudin menjadi peguam negara.

Firuz pula mendedahkan bahawa beliau adalah antara hakim dalam keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lalu berhubung rayuan Najib berkaitan titah addendum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.