Polis belum dimaklum perhimpunan bantah SPRM

Polis belum dimaklum perhimpunan bantah SPRM

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata polis belum dimaklumkan mengenai perhimpunan yang dirancang pada Ahad ini di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam menafikan menerima makluman mengenai perhimpunan yang dirancang pada Ahad ini terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis belum menerima sebarang makluman mengenai perhimpunan yang dirancang Ahad ini berhubung kontroversi pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam hanya memaklumkan perkara itu kepada FMT menerusi satu mesej ringkas di WhatsApp.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat #TangkapAzamBaki itu dijadual diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur. Perhimpunan sama pernah diadakan pada Januari 2022 susulan laporan mengenai aktiviti dagangan saham Azam.

Selain menuntut peletakan jawatan Azam, kumpulan itu juga menggesa siasatan dijalankan serta penarikan balik gelaran profesor adjung beliau di universiti awam. Mereka turut mengkritik respons Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut dan menggesa rakyat Malaysia menghadiri perhimpunan itu.

Bloomberg sebelum ini melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu.

Agensi berita antarabangsa yang telah disaman Azam sebanyak RM100 juta itu, turut melaporkan namanya masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana yang lebih rendah.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan berkata tidak memegang saham dalam pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.