
“Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya yang juga peguam negara menurut Sinar Harian.
Siasatan itu diarahkan Jemaah Menteri beberapa hari selepas Bloomberg News dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham melebihi had ditetapkan untuk penjawat awam.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Dusuki sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu, yang turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Katanya, jawatankuasa itu akan menyiasat secara terperinci, dengan syor siasatan akan dibentangkan kepada perdana menteri dan pihak berkuasa tatatertib.
Baru-baru ini, Azam dilapor menegaskan beliau terbuka untuk siasatan kerana pegangan sahamnya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan sudah diisytiharkan sepenuhnya dan telah dilupuskan tahun lalu.
Pekeliling kerajaan pada 2024 melarang penjawat awam membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia lebih 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai pasaran semasa.
Azam dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, yang mempertahankan laporannya, sementara polis memulakan siasatan ke atas dakwaan fitnah jenayah oleh media itu.
Dalam artikel berasingan, Bloomberg menyiarkan dakwaan pegawai SPRM membantu sekumpulan ahli perniagaan mengambil alih syarikat tertentu.