SPRM juga dalam radar beta, titah Agong

SPRM juga dalam radar beta, titah Agong

Sultan Ibrahim bertitah jika ada pegawai gagal laksana tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar AGONG
Sultan Ibrahim bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan amaran tiada agensi atau jabatan kerajaan akan terlepas daripada misi baginda memerangi rasuah, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office, Sultan Ibrahim bertitah lebih ramai lagi dalam ‘radar’ baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi, sambil menegaskan rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima.

“Malah, berhati-hati juga mereka di (dalam) polis, imigresen, kastam, dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga SPRM.”

Sultan Ibrahim juga memberi amaran kepada ‘orang tengah’ serta pembekal peralatan, pakaian seragam, dan keperluan perubatan yang terlibat amalan rasuah bahawa mereka juga berada dalam radar pemantauan baginda.

“Jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” katanya.

Seri Paduka Baginda bertitah, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

Kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu dibuat tiga minggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan pegawai penguat kuasa memberi laluan kepada orang lain, jika mereka tidak serius dalam memerangi rasuah dan penyeludupan barangan.

Anwar, yang berkempen atas agenda membasmi rasuah, turut memberi tempoh seminggu kepada pegawai penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi untuk bermuhasabah sama ada mereka bersedia untuk berjuang habis-habisan menentang amalan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.