Kerajaan tegas pastikan kepentingan semua kaum terjamin

Kerajaan tegas pastikan kepentingan semua kaum terjamin

Perdana menteri berkata tiada negara boleh berjaya jika rakyat bergaduh antara satu sama lain.

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA KLSCAH 2026
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya kadangkala perlu mengambil pendekatan agak tegas dalam usaha melindungi kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Anwar berkata, langkah itu penting kerana tiada negara yang boleh berjaya jika rakyatnya bergaduh antara satu sama lain dan tiada semangat bertolak ansur untuk mengangkat semua kaum dan agama di semua lapangan.

Beliau berkata, hasil kerjasama rakyat berbilang kaum di negara ini selama ini telah membuahkan hasil dengan data ekonomi menunjukkan Malaysia berjaya mencatat hasil kemajuan yang jauh lebih membanggakan.

“Semuanya ini sebab kita negara aman, kita ada semangat muafakat bersama dan ketiga, kita bekerja bersama-sama untuk angkat martabat Malaysia.

“Tetapi, sekiranya anda ingin berjaya, kita perlu terima bahawa terdapat masalah, terdapat perbezaan, namun kita perlu bekerjasama menyelesaikannya sebagai masyarakat yang hebat, keluarga Malaysia yang bersatu,” kata beliau dalam ucapan ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Dalam ucapannya, Anwar berkata isu perpaduan bukan sesuatu perkara yang baharu di dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Cabaran utama sudah tentu perpaduan negara dalam menentang perpecahan kaum, menolak perkauman. Perkara ini bukan baharu, sebab itu saya beritahu (dari dahulu lagi) untuk kita bekerjasama, saya daripada Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) kita kumpul, bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Cina untuk perjuang hak rakyat dan bina semangat perpaduan antara kaum,” katanya.

Beliau turut menyatakan contoh cabaran dihadapi Perdana Menteri kedua Allahyarham Abdul Razak Hussein yang menyatakan masalah negara ketika itu adalah dalam menangani isu 3C, iaitu cabaran komunis, komunalisme dan rasuah.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Anwar berharap perayaan Tahun Baharu Cina ini dimanfaatkan untuk seluruh rakyat dalam mengukuhkan hubungan perpaduan antara satu sama lain, dengan mengetepikan isu-isu yang tidak memberikan kebaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.