
Katanya, persepsi mengaitkan penularan penyakit itu dengan kemasukan warga asing sebagai tidak tepat.
“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau berkata, tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam, sebaliknya telah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius.
Katanya, tibi bukanlah sekadar isu klinikal, malah ia boleh disebabkan oleh faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.
“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat, dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.
Justeru, Dzulkefly menyeru masyarakat supaya cakna terhadap gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam dan susut berat badan, dan segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memulaukan pesakit, sambil menegaskan sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah kunci utama untuk pesakit melengkapkan rawatan.
Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette–Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.