Pulau Tioman perlu jadi keutamaan negeri, titah Sultan Pahang

Pulau Tioman perlu jadi keutamaan negeri, titah Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah zahir kebimbangan tahap infrastruktur asas di pulau itu masih ketinggalan.

sultan abdullah
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Tioman selama empat hari bermula semalam. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar Pulau Tioman diletakkan sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri dan tidak boleh lagi dianggap sebagai kawasan ‘jauh di mata’ sehingga terlepas daripada perhatian sewajarnya.

Baginda bertitah keberangkatan ke pulau itu bagi mengadakan lawatan kerja selama empat hari, yang bermula semalam, bukan sekadar untuk bersama rakyat menyambut ketibaan Ramadan, tetapi juga melihat sendiri keadaan semasa dan perkembangan pembangunan di kawasan berkenaan.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah, Pulau Tioman ialah aset dan permata bagi Pahang yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara terancang.

Sultan Pahang turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap infrastruktur asas di pulau itu yang masih ketinggalan, berbanding kawasan lain.

“Kalau kita bandingkan dari segi infrastruktur, Pulau Tioman masih lagi kebelakang dari segi kemudahan asas. Jalan tidak begitu sempurna, elektrik tidak begitu sempurna, air tidak begitu sempurna, dan rumah pun ada yang tidak begitu sempurna.

“Sudah sampai masanya segala tumpuan perlu diberi kepada Pulau Tioman ini,” titah baginda yang dimuat naik menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.