
Ketua Polis Sentul, Basri Sagoni, berkata suspek warga tempatan berusia 65 tahun itu ditahan pada 3.21 petang tadi.
Polis merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, pakaian dan seketul batu yang digunakan dalam jenayah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan objek batu kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM,” menurut kenyataan.
Beliau berkata dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini.
Siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam siri kes khianat memecahkan beberapa mesin ATM di sekitar Jinjang dengan anggaran kerugian RM64,000.