Aduan terhadap pegawai kerajaan perlu ikut undang-undang, kata PM

Aduan terhadap pegawai kerajaan perlu ikut undang-undang, kata PM

Anwar Ibrahim berkata tidak wajar penjawat awam dihukum sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan yang diambil tidak boleh dipengaruhi rasa tidak senang, tekanan politik atau kepentingan kelompok tertentu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Anwar Ibrahim menegaskan sebarang aduan terhadap pegawai kerajaan mesti ditangani mengikut lunas undang-undang dan tidak digerakkan berdasarkan sentimen atau persepsi semata-mata.

Perdana menteri berkata penjawat awam, khususnya dalam agensi penguatkuasaan, telah lama berkhidmat dan berkorban demi negara, justeru tidak wajar mereka dihukum sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah, proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM. Bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, yang berhempas pulas, terus dihukum sebelum siasat.

“Saya tidak pilih jalan itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” katanya berucap pertemuan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya Ramadan.

Pada 13 Feb lalu Anwar meminta jawatankuasa khas diberi ruang menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Menurutnya, jawatankuasa khas diketuai Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan dilaporkan agensi berita antarabangsa Bloomberg itu.

Sementara itu, Anwar menegaskan sebarang tindakan yang diambil tidak boleh dipengaruhi rasa tidak senang, tekanan politik atau kepentingan kelompok tertentu.

“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi, atau kerana ada dorongan politik atau kerana kita bertindak kerana orang itu pernah mengambil tindakan kepada kelompok yang kita kaitkan. Kita harus teliti,” katanya.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ia dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Azam kemudiannya memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.