Peguam, advokasi kanak-kanak desak hukuman sebat mandatori kes rogol berkumpulan

Peguam, advokasi kanak-kanak desak hukuman sebat mandatori kes rogol berkumpulan

Peguam A Srimurugan berkata sementara menunggu pindaan, pihak pendakwaan masih boleh meneruskan pertuduhan merogol terhadap pesalah rogol berkumpulan.

jail penjara
Di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, rogol berkumpulan membawa hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun, namun tidak seperti kes rogol di bawah Seksyen 376, ia tidak memperuntukkan hukuman sebatan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua peguam kanan dan sebuah kumpulan advokasi kanak-kanak menggesa kerajaan supaya meminda Kanun Keseksaan bagi menjadikan hukuman sebatan sebagai hukuman mandatori terhadap pelaku rogol berkumpulan.

Mereka menegaskan bahawa hukuman sebatan telah diperuntukkan bagi kesalahan keganasan seksual yang lain, namun badan perundangan dilihat terlepas pandang dalam kes rogol berkumpulan.

Menurut mereka, rogol berkumpulan lazimnya lebih ganas dan menyebabkan mangsa, khususnya wanita dan kanak-kanak mengalami trauma fizikal dan psikologi yang serius.

Salim Bashir
Salim Bashir.

Peguam, Salim Bashir, berkata agak menghairankan apabila Kanun Keseksaan tidak memperuntukkan hukuman sebatan bagi kes rogol berkumpulan, sedangkan hukuman tersebut dikenakan bagi kesalahan seksual lain.

“Sukar untuk memahami sebab di sebalik kelompongan perundangan ini,” kata bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu kepada FMT.

Salim berkata menjadi tanggungjawab badan perundangan untuk mengenakan hukuman yang bersifat pencegahan demi melindungi mangsa, memandangkan rogol berkumpulan menimbulkan risiko besar terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi mereka.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap empat lelaki atas kesalahan rogol berkumpulan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah ladang kelapa sawit Felda di Dungun, Terengganu pada 2020.

Di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, rogol berkumpulan membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, namun tidak seperti kes rogol di bawah Seksyen 376, ia tidak memperuntukkan hukuman sebatan.

A Srimurugan
A Srimurugan.

Peguam A Srimurugan berkata sementara menunggu pindaan terhadap Seksyen 375B Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan masih boleh mendakwa pelaku rogol berkumpulan atas pertuduhan rogol sekiranya terdapat bukti perubatan yang kukuh serta keterangan saksi yang tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan tertuduh didakwa sama ada secara bersama atau berasingan sekiranya kesalahan dilakukan bersama.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman sebatan boleh dikenakan selain hukuman penjara,” katanya.

Srimurugan berkata Seksyen 289(c) Kanun Tatacara Jenayah membenarkan hukuman sebatan terhadap lelaki berusia lebih 50 tahun yang disabitkan kesalahan rogol, liwat, memasukkan objek secara seksual atau menghasut kanak-kanak di bawah 14 tahun melakukan perbuatan tidak senonoh melampau.

“Amat tidak masuk akal apabila hukuman sebatan telah terlepas pandang dalam kesalahan yang sangat serius seperti rogol berkumpulan,” katanya sambil menambah bahawa kelompongan itu perlu diperbetulkan oleh Parlimen.

Srividhya Ganapathy
Srividhya Ganapathy.

Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Peningkatan Hak Kanak-Kanak (CRIB), Srividhya Ganapathy, berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu menimbulkan persoalan penting tentang bagaimana kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak digambarkan dan didakwa.

“Mengetahui bahawa Seksyen 375B tidak memperuntukkan hukuman sebatan, pesalah dalam kes ini sepatutnya boleh didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Srividhya berkata bagi kes serangan seksual secara penetrasi, peruntukan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta budi bicara untuk mengenakan sebatan.

“Dalam kes yang melibatkan keganasan seksual terancang terhadap kanak-kanak, adalah wajar untuk mempersoalkan mengapa kerangka undang-undang yang paling melindungi tidak digunakan,” kata Srividhya yang juga seorang peguam.

Beliau berkata keadilan bagi mangsa kanak-kanak tidak hanya diukur berdasarkan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadap pelaku.

Mangsa perlu dimaklumkan mengenai haknya untuk mengemukakan pernyataan impak mangsa, saluran bagi mendapatkan pampasan, sokongan dan pemulihan yang sesuai serta perlindungan daripada sebarang bentuk tindakan balas, tambahnya.

“Tiada makna menggubal undang-undang perlindungan kanak-kanak yang kukuh dan khusus jika mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakannya tidak dilatih dan diperlengkapkan secara konsisten untuk menggunakannya dengan betul. Undang-undang tidak dapat melindungi kanak-kanak hanya di atas kertas,” kata Srividhya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.