Langkah Petronas rujuk mahkamah sediakan asas undang-undang bagi rundingan, kata KJ

Langkah Petronas rujuk mahkamah sediakan asas undang-undang bagi rundingan, kata KJ

Bekas pemimpin Umno itu berkata tanpa tafsiran undang-undang yang jelas rundingan antara Petronas dan kerajaan Sarawak tidak akan berjaya.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin berkata rundingan Petronas dengan Petros dan kerajaan Sarawak tidak akan berjaya tanpa tafsiran mahkamah tersebut.
PETALING JAYA:
Langkah Petronas merujuk mahkamah bagi mendapat memperjelaskan kerangka kawal selia bagi operasi petroleum di Sarawak adalah penting bagi mewujudkan asas perundangan untuk rundingannya dengan negeri itu, kata bekas menteri Khairy Jamaluddin.

Bekas pemimpin Umno itu berkata rundingan syarikat minyak dan gas nasional tersebut dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan kerajaan Sarawak tidak akan berjaya tanpa tafsiran mahkamah tersebut.

“Saya nampak ini sahaja (tafsiran mahkamah) yang membolehkan rundingan ini berlaku. Kedua-dua pihak bercakap dalam ‘bahasa’ yang berbeza,” katanya, sambil menambah kedua-dua pihak perlu menetapkan asas yang dipersetujui bersama dalam rundingan tersebut.

Khairy berkata Petronas membuat keputusan yang betul dengan mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Persekutuan, dengan menyatakan bahawa kekurangan kejelasan undang-undang menjejaskan pemain industri dan pelabur dalam sektor gas.

“Ramai pelabur kini tidak tahu untuk bercakap dengan siapa berkenaan industri gas di Sarawak, sama ada dengan Petronas atau Petros,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap yang disiarkan semalam.

Pindaan 2023 kepada Ordinan Pengedaran Gas 2016 Sarawak mewajibkan Petronas mendapatkan lesen pengedaran gas bagi operasinya di negeri itu, sekali gus meletakkan enakmen tersebut bercanggah dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang memberikan Petronas hak eksklusif ke atas sumber minyak dan gas di seluruh negara.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk memutuskan permohonan Petronas bagi mendapatkan kebenaran meneruskan permohonan tersebut.

Petronas berkata keputusannya memfailkan permohonan itu dibuat susulan beberapa siri dialog dan rundingan yang diadakan sejak 2024 dengan Petros, serta pihak berkuasa persekutuan dan negeri.

Petronas dan Petros, bersama pihak berkuasa persekutuan dan negeri, telah lama terlibat dalam pertikaian mengenai hak pengedaran gas di Sarawak.

Khairy berkata sekiranya isu itu tidak mahu dipolitikkan atau dikaitkan dengan sentimen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dan sebagainya, jalan terbaik ke adalah mendapat satu tafsiran teknikal secara perundangan.

Beliau menyifatkan rujukan itu sebagai ‘cara berperlembagaan dan bertamadun’ untuk menyelesaikan persoalan undang-undang yang kompleks dan menyuarakan harapan agar keputusan mahkamah dapat mencapai keseimbangan antara kepentingan persekutuan dan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.