Tun Faisal sampaikan ‘tazkirah’, dakwa Allah laknat wakil rakyat langgar baiah

Tun Faisal sampaikan ‘tazkirah’, dakwa Allah laknat wakil rakyat langgar baiah

Ketua penerangan Bersatu berkata wakil rakyat keluar parti atau dipecat juga perlu letak jawatan atau bayar pampasan RM10 juta.

muhyiddin yassin n tun faisal
Tun Faisal Ismail Aziz ingatkan wakil rakyat Bersatu supaya ingat sumpah baiah dibuat sebelum ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan semula wakil rakyat parti itu berkaitan sumpah baiah yang pernah dibuat sebelum ini.

Tun Faisal menerusi Facebook berkata wakil rakyat terbabit akan dilaknat ‘Allah, rasul dan orang beriman’ jika meningggalkan parti selain segala perbeanjaan digunakan atas nama parti adalah haram.

Beliau turut mendakwa sumpah itu juga menetapkan mana-mana wakil rakyat yang keluar atau dipecat daripada parti perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Adun atau membayar pampasan sebanyak RM10 juta kepada Bersatu.

“Tazkirah dan ingatan kepada mereka yang terbabit, kalau mereka ada yang membaca lafaz sumpah dan baiah ini,” katanya yang turut memuat naik gambar dokumen lafaz sumpah baiah terbabit.

Kenyataan Tun Faisal itu dibuat ketika ada laporan media mendakwa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu dipecat pada 13 Feb lalu selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Beliau dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana didakwa menjadi dalang mencetuskan kekecohan pada perhimpunan parti, September lalu selain tidak menghalang kenyataan memburukkan Presiden Muhyiddin Yassin.

Dalam perhimpunan sehari kemudiannya, selain mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Muhyiddin, Ahli Parlimen Larut itu turut mengumumkan gerakan ‘reset’ untuk membina semula negara dengan menyeru ‘sahabat’ beliau menyokong perjuangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.