Firma guaman UK gagal tangguh prosiding 1MDB di Malaysia

Firma guaman UK gagal tangguh prosiding 1MDB di Malaysia

White & Case mohon prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu dua rayuan selesai.

1mdb
1MDB mendakwa White & Case membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan bersekongkol untuk menjejaskan syarikat itu semasa bertindak selaku peguamnya. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak permohonan firma guaman White & Case LLP (White & Case) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman difailkan oleh 1MDB diteruskan di mahkamah Malaysia.

Firma berkenaan memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu dua rayuan yang dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 20 Mei depan selesai.

Bagaimanapun, permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh firma berkenaan ditolak panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan P Ravinthran, Faizah Jamaludin dan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Ravinthran berkata mahkamah terbabit memutuskan permohonan penangguhan itu tidak sepatutnya dibenarkan.

Berhubung hujah White & Case bahawa pihak mereka akan menanggung kos dan kesulitan besar sekiranya penangguhan tidak diberikan kerana pernyataan tuntutan yang panjang, Ravinthran menjelaskan bahawa perkara berkenaan adalah sebahagian daripada prosiding litigasi dan sebarang kerugian berkaitan masa atau sumber boleh kerugian dikompensasi melalui pemberian kos sekiranya firma guaman terbabit berjaya dalam rayuan.

Ravinthran berkata Mahkamah Rayuan turut mengambil maklum bahawa Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan penangguhan prosiding dan mengarahkan firma guaman berkenaan untuk mengemukakan pernyataan pembelaan mereka sebelum tarikh akhir yang tamat esok.

“Isu mengenai penangguhan prosiding adalah seumpama keputusan pengurusan kes. Pada pandangan kami, keputusan seumpama ini tidak sepatutnya dicampur sesuka hati kerana Mahkamah Tinggi seharusnya memiliki kebebasan penuh dalam menguruskan kes perbicaraan melainkan terdapat alasan yang munasabah untuk campur tangan selanjutnya,” kata hakim itu.

Mahkamah mengarahkan firma itu membayar kos guaman berjumlah RM30,000.

1MDB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2024 dengan menuntut ganti rugi sebanyak USD1.83 bilion dan USD33 juta atas kerugian daripada White & Case serta pengarah PetroSaudi International Ltd Patrick Mahony.

1MDB mendakwa White & Case telah membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan bersekongkol untuk menjejaskan 1MDB semasa bertindak selaku peguamnya.

Penipuan itu didakwa berkaitan dengan dua urus niaga korporat semasa usaha sama pada 2009 dengan PetroSaudi International iaitu Good Star dan penstrukturan semula pegangan 1MDB dalam usaha sama pada 2010, yang menurut 1MDB telah mengakibatkan kerugian kewangan.

Writ saman berkenaan telah disampaikan di luar bidang kuasa terhadap White & Case ke alamat mereka masing-masing di UK dan firma terbabit memohon agar penyampaian di luar bidang kuasa itu dibatalkan.

White & Case turut memohon pengisytiharan bahawa Mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan, sekali gus menolak pertikaian White & Case mengenai bidang kuasa dengan menyatakan bahawa saksi-saksi yang akan dipanggil semasa perbicaraan di Malaysia.

Firma guaman itu kemudian merayu keputusan terbabit ke Mahkamah Rayuan.

Firma guaman itu turut mengemukakan rayuan terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan saman itu disatukan dengan saman lain yang difailkan oleh 1MDB terhadap beberapa defendan lain termasuk Deutsche Bank dan PetroSaudi International.

Di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Ranjit Singh mewakili White & Case manakala 1MDB diwakili peguam Lim Chee Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.