Gempa bumi 6.8 magnitud landa Sabah, tiada ancaman tsunami

Gempa bumi 6.8 magnitud landa Sabah, tiada ancaman tsunami

Gegaran tengah malam tadi turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung.

MetMalaysia berkata ia akan memantau keadaan dari semasa ke semasa susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah. (Gambar MetMalaysia)
KOTA KINABALU:
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini, memaklumkan pusat gempa itu terletak pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, dengan kedalaman 678 km.

“Pusat gempa bumi tersebut berada pada jarak 49 km ke Barat dari Kudat, Sabah.

“Gegaran dirasai di Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa.

Jabatan itu juga memohon orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan supaya menyalurkan maklumat dengan mengisi borang soal selidik di pautan ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah ketika dihubungi Bernama mengesahkan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan susulan kejadian gempa tersebut.

“Dimaklumkan bahawa setakat ini, tiada sebarang panggilan kecemasan berkaitan gempa bumi diterima.

“Semua balai sedang melaksanakan rondaan dan pemantauan di kawasan jagaan masing-masing bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.