PAS jadi ketua pembangkang: Hamzah belum sedia jawab persoalan

PAS jadi ketua pembangkang: Hamzah belum sedia jawab persoalan

Kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang jadi persoalan selepas MT PN setuju PAS ambil alih peranan.

Hamzah Zainudin
Kedudukan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang jadi persoalan susulan pemecatan beliau daripada Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, belum bersedia untuk menjawab persoalan berhubung kedudukannya sebagai ketua pembangkang, selepas majlis tertinggi Perikatan Nasional bersetuju peranan itu diambil alih PAS.

“Kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita apabila mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-15 kembali bersidang hari ini, selepas satu minggu berehat.

Beliau ditemui selepas taklimat kepada wakil rakyat berhubung rang undang-undang berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri.

Kebetulan, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim daripada PAS, yang bersama Hamzah ketika ditemui, percaya Perikatan Nasional (PN) akan buat suatu keputusan berhubung perkara ini kelak.

Beliau berkata PN baru sahaja selesai hal pelantikan pengerusi baharu. “Keputusan lain akan dibuat kemudian,” katanya.

Perhatian tertumpu pada kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen susulan pemecatan beliau pada 13 Feb, kemuncak kemelut kepimpinan antara beliau dan Presiden Muhyiddin Yassin.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mengumumkan majlis tertinggi gabungan itu setuju peranan ketua pembangkang diambil alih PAS, memandangkan parti itu memiliki bilangan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Beliau, yang juga setiausaha agung PAS, bagaimanapun menambah partinya memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.

Perkembangan ini mengiringi pelantikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai pengerusi baharu PN menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.