
RUU itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said di bawah RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 1) 2026 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (N0 2) 2026.
Bacaan kali kedua untuk kedua-dua RUU berkenaan dimaklumkan akan dibentangkan pada persidangan kali ini.
“Bacaan kedua pada mesyuarat kali ini. (Dalam) minggu depan,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Azalina berkata cadangan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya bertujuan memperkukuh prinsip kebebasan institusi, selain memastikan ketelusan serta keadilan dalam sistem perundangan negara.
Beliau berkata antara perkara utama dicadangkan termasuk pelantikan pendakwa raya oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan.
RUU itu turut memperincikan kedudukan pendakwa raya setara dengan peguam negara dari segi hierarki dan perkhidmatan, selain menetapkan kriteria utama seorang pendakwa raya iaitu perlulah sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam litigasi serta tempoh lantikan selama tujuh tahun.
Sementara itu, bagi pembentangan RUU pengehadan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, Azalina berkata tempoh perkhidmatan perdana menteri akan dikira secara terkumpul sepanjang hayat perkhidmatan, sama ada secara berturutan atau tidak.
Katanya, apabila perdana menteri terhenti memegang jawatan kerana sampai tempoh agregat 10 tahun, anggota Jemaah Menteri juga terhenti memegang jawatan.
Azalina berkata tempoh peralihan kuasa kepada perdana menteri baharu turut diperuntukkan dalam RUU berkenaan.
Beliau sebelum ini memaklumkan kedua-dua RUU itu dipersetujui Jemaah Menteri dan berharap pembentangan serta perbahasan kedua-dua RUU itu mendapat sokongan rentas parti demi memperkukuh sistem perundangan serta demokrasi negara.