
Muhyiddin Yassin masih pengerusi Perikatan Nasional (PN). Peletakan jawatannya masih belum diterima oleh PN. Maknanya belum sah. Ini diakui Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor 7 Jan. Katanya, perkara itu akan hanya dimuktamadkan selepas pertemuan pemimpin tertinggi gabungan.
Maaf, jika saya terlepas pandang tetapi setahu saya pertemuan kepimpinan tertinggi PN untuk bincang isu peletakan jawatan Muhyiddin belum diadakan sehingga kini. Pada hal, beliau umum letak jawatan 29 Dis lalu yang berkuatkuasa 1 Jan 2026. Maknanya, sudah 23 hari berlalu. Tiada pengganti diumumkan.
Jika sudah masakan kita tidak tahu. Masakan Muhyiddin pada Rabu lalu yakni 21 Jan beritahu media bahawa PN sudah hampir ke tahap perlu memuktamadkan calon perdana menterinya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Kerana katanya ia beri kesan psikologi kepada pengundi khususnya apabila pilihan raya semakin hampir. “Pengalaman sebelum ini menunjukkan rakyat mula mempersoalkan kepimpinan tertinggi gabungan apabila PRU semakin hampir,“ katanya.
‘Then why quit in the first place? Betul ke ‘ikhlas’ letak jawatan? Berkata Muhyiddin lagi (ini bagi saya amat menarik): ”Sama ada saya atau orang lain yang menjadi calon PM yang penting kita bincang dulu supaya tidak bergaduh”. Kata kuncinya pada hemat saya ialah “sama ada saya“.
Ertinya, Muhyiddin tidak keberatan atau tidak akan menolak jika beliau dijadikan calon PN untuk jawatan PM. Posterboy PN dalam erti kata lain. Kita tahu partinya Bersatu mahu beliau jadi calon itu. Portal Scoop memetik beliau berkata kepada beberapa media terpilih malam Rabu lalu bahawa “the next PN chairman should be selected from among the coalition’s party presidents”.
Jawatan tertinggi itu kata beliau mesti dipegang oleh “one of its four sitting party leaders “ iaitu beliau sendiri , Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan.
Lau dan Punithan tidak boleh jadi calon PM atas sebab kita semua termasuk mereka berdua amat maklum. Tak kan Muhyiddin tak tahu kan? Lantas hanya Muhyiddin dan Hadi yang layak dipilih PN. Muhyiddin mengakui desakannya calon PM dipilih dalam kalangan presiden parti komponen mencetuskan dilema.
Apa tidaknya? Hadi ‘has ruled himself out of contention’ atas faktor kesihatan. Scoop memetik Muhyiddin bertanya kepada media: “If I have resigned, one of the other three should be PN chairman. But, if the other three cannot be the chairman can you give me a solution?
Hebat pertanyaan itu. Seperti dikatakan tadi Lau dan Punithan memang tidak boleh dijadikan calon. Hadi pula tidak mahu dipertimbangkan. Diulangi jadi tinggallah beliau seorang.
PAS memang punya calonnya selain Hadi meskipun ada kalangan parti itu yang tetap mahu Hadi jadi calon PM. Meskipun, Ahli Parlimen Marang itu secara terbuka calon menegaskan calon PM mestilah seorang berusia bawah 70 tahun.
Tetapi, mereka tetap mahu Hadi jadi calon. Pelik juga bukan? Pada pandangan saya jika PN mengehadkan pilihan calon PM mereka kepada presiden parti dengan sendirinya Hamzah Zainudin selaku timbalan presiden Bersatu akan terus berangan dan gigit jari. Umum tahu beliau nak jadi calon PM.
Bukanlah rahsia hubungan Hamzah dengan Muhyiddin bukan setakat renggang dan retak, bahkan tidak baik. Pun begitu ada kalangan dalam PAS yang mahu Hamzah diangkat calon PM. Ini hasrat mereka untuk sekian lama. Dalam erti kata lain untuk sekian lama juga mereka tidak mahu Muhyiddin jadi pengerusi PN.
Adakah faktor itu yang ‘memaksa’ Muhyididn ‘mahu’ letak jawatan? Nyata peletakan jawatan beliau ‘is more than what meets the eye’. Pandangan saya – Muhyididn masih mahu berpencak silat dalam gelanggang politik.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.