Momentum pembangunan Sabah terus diperkukuh bawah SMJ 2.0, kata Hajiji

Momentum pembangunan Sabah terus diperkukuh bawah SMJ 2.0, kata Hajiji

Ketua menteri sementara berkata kerajaan GRS berjaya tingkat hasil negeri, selesai isu air dan elektrik serta lonjak rizab daripada RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor
Hajiji Noor berkata Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan perkukuh hala tuju negeri yang beri manfaat kepada rakyat.
KOTA KINABALU:
Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan memperkukuhkan hala tuju negeri dengan fokus kepada pembangunan ekonomi dan modal insan yang memanfaatkan rakyat, kata Ketua Menteri sementara Hajiji Noor.

Beliau berkata, pelan itu akan mengukuhkan usaha dimulakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah membuktikan keupayaannya melalui peningkatan hasil negeri, penambahbaikan infrastruktur asas dan pelaksanaan agenda kebajikan rakyat.

Katanya, perancangan itu penting kerana sebuah negeri sebesar Sabah memerlukan hala tuju konsisten dan jelas yang merangkumi pelbagai bidang.

“Ia merangkumi semua bermula pembangunan ekonomi Sabah, industri, pelancongan, pertaniannya, modal insan, kesejahteraan rakyat dan pembangunan infrastruktur.

“Kalau rakyat tidak ada sekolah (pendidikan) baik, kemahiran baik, susahlah. Itu sebab saya masukkan pembangunan modal insan,” katanya dalam temu bual FMT.

Pencapaian lima tahun, rizab baik

Hajiji berkata, pentadbiran GRS berjaya menambah rizab negeri daripada kurang RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, kutipan hasil pula naik daripada hampir RM4 bilion setahun kepada hampir RM7 bilion, dan dijangka terus meningkat tahun depan.

“Dulu penghutang hasil hanya hampir RM4 bilion setahun. Sekarang hampir RM7 bilion,” katanya.

Penyelesaian masalah air, belanja RM1.2 bilion

Mengulas masalah bekalan air, Hajiji menegaskan ia adalah isu lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita buat yang terbaik,” katanya sambil menggariskan langkah telah dan sedang diambil pentadbirannya.

Antara projek utama yang sedang dan telah disiapkan:

  • RM1.2 bilion projek air seluruh Sabah.
  • 18 projek menaik taraf loji menggunakan pinjaman mudah RM320 juta kerajaan persekutuan.
  • Loji Kogopon Papar (RM385 juta) siap tahun depan.
  • Loji Telibong II siap dan bekalkan 160 juta liter sehari ke Kota Kinabalu.
  • Projek empangan Cinta Mata Tawau 60% siap, dijangka siap 2028.
  • Projek sambungan paip di Ranau, Pulau Banggi dan luar bandar guna dana negeri.

Jalan raya dan elektrik: Masalah lama, penyelesaian baharu

Menjawab kritikan pembangkang mengenai keadaan jalan raya, Hajiji berkata mereka sendiri gagal menyelesaikan masalah itu ketika berada dalam kerajaan.

“Ada yang jadi menteri luar bandar tujuh tahun..tetapi jalan luar bandar tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata, projek naik taraf giat dijalankan melalui kerjasama rapat dengan Putrajaya.

Bagi isu elektrik, Hajiji menjelaskan gangguan berlaku kerana permintaan meningkat susulan kemasukan pelabur baharu.

“Elektrik ini saya boleh bagi jaminan dia tiada masalah. Tetapi kerana pelabur yang banyak, permintaan terlalu tinggi,” katanya.

Majlis Tenaga Sabah sudah meluluskan lebih 1,000MW penjanaan baharu termasuk solar, mini hidro dan hidro, dengan tempoh siap antara dua hingga tiga tahun.

Agihan bantuan diperluas

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menumpukan bantuan langsung kepada golongan berpendapatan rendah melalui inisiatif bawah SMJ, termasuk:

  • RM300 sebulan untuk 100,000 penerima e-Kasih.
  • 7,000 rumah Mesra SMJ diluluskan, hampir 6,000 siap.
  • RM200 untuk pelajar Tingkatan 5 sebelum peperiksaan.
  • RM300 bantuan tambang balik kampung untuk mahasiswa.

“Kita kembalikan kepada rakyat. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Hajiji yang mula mengemudi pentadbiran kerajaan Sabah sejak September 2020.

‘Pilih kerajaan yang terbukti’

Menjelang PRN Sabah 29 Nov ini, Hajiji mengingatkan pengundi supaya menilai rekod kerajaan.

“Pilih parti yang terbukti membangunkan Sabah dan mempunyai hala tuju jelas. Jangan rosakkan agenda pembangunan yang ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, SMJ 2.0 akan membawa Sabah memasuki fasa pembangunan yang lebih moden, tersusun dan berfokus kepada penyampaian manfaat kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.