Ahmad Maslan cadang kajian berkala sentimen Melayu, kesan kerjasama Umno-DAP

Ahmad Maslan cadang kajian berkala sentimen Melayu, kesan kerjasama Umno-DAP

Ahli MKT Ahmad Maslan berkata data empirikal setiap tiga bulan perlu dijadikan asas keputusan politik bukan bergantung andaian menjelang PRU akan datang.

umno dap logo
Hubungan Umno dan DAP sejak pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15 terus menjadi isu sensitif khususnya dalam kalangan pengundi Melayu yang menjadi teras sokongan tradisi parti itu.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Umno mencadangkan parti itu melaksanakan kajian sentimen pengundi Melayu setiap tiga bulan bagi mengukur tahap sokongan mereka dan sentimen anti-DAP.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ahmad Maslan, berkata tinjauan itu amat mendesak memandangkan sentimen orang Melayu dan akar umbi masih sukar menerima kerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan walaupun sudah hampir tiga tahun bersama di Putrajaya.

Katanya, kajian itu boleh menggunakan pendekatan empirikal (tinjauan lapangan) dan kuantitatif (data) bagi mengetahui gambaran sebenar sentimen akar umbi, khususnya hubungan Umno dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

“Sentimen sekarang orang Melayu masih benci DAP, tetapi kalau mereka tidak suka DAP, mereka suka kerajaan perpaduan tidak mustahil dengan segala inisiatif (yang dilaksanakan) dia boleh melunturkan kebencian DAP itu.

“Jika selepas semua inisiatif itu sentimen orang Melayu masih menolak Umno kerana hubungan dengan DAP, maka parti perlu membuat keputusan penting sebelum pilihan raya,” katanya kepada FMT di Parlimen, merujuk lebih 730 inisiatif diumumkan Putrajaya.

Ahmad berkata, kajian berkala itu penting bagi membaca ‘gelombang’ politik di peringkat akar umbi menjelang PRU16, khususnya dalam suasana landskap politik yang sentiasa berubah dan semakin dipengaruhi persepsi.

Beliau mengingatkan kegagalan memahami sentimen sebenar rakyat boleh membawa kesan besar kepada parti, merujuk pengalaman politik di Sabah yang menyaksikan perubahan mendadak kuasa akibat salah membaca ‘mood’ pengundi.

“Dalam politik, jika kita gagal membaca gelombang, ia boleh bertukar menjadi tsunami,” katanya.

Menurutnya, jika gelombang positif hasil bantuan dan dasar kerajaan masih tidak mampu menutup gelombang negatif sentimen anti-DAP, Umno perlu menilai semula pendekatan paling sesuai demi kelangsungan parti.

Hubungan Umno dan DAP sejak pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15 terus menjadi isu sensitif, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu yang menjadi teras sokongan tradisi parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.