
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata, pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) serta analisis perbandingan harga antara Disember dan bulan ini mendapati tidak wujud kenaikan harga luar biasa seperti didakwa.
Katanya, KPDN melaksanakan pemantauan harga secara menyeluruh melalui mekanisme ‘Price Catcher’, melibatkan 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya di seluruh negeri dengan kutipan harga ke atas 41 jenis sayur termasuk barangan yang didakwa berlaku kenaikan harga.
“Analisis mendapati kebanyakan harga seperti tomato, halia, bendi, kacang panjang, kubis dan lobak merah menunjukkan perubahan harga yang kecil dan masih dalam julat munasabah.
“Malah terdapat barangan tertentu yang mencatatkan penurunan harga berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mengenai kenaikan harga barangan makanan asas menjelang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, susulan aduan pengguna, lapor Bernama.
Terdahulu, Presiden PHA P Murugiah mendakwa pihaknya menerima pelbagai laporan berhubung kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan barangan keperluan asas, mendorong mereka melakukan tinjauan pada 26 Jan di beberapa kedai runcit dan pasar basah di Pulau Pinang.
Sementara itu, Jegan berkata, purata harga runcit tomato hanya meningkat daripada RM6.56 sekilo bulan lepas kepada RM7.28 sekilo bulan ini.
Sementara itu, harga halia kekal stabil sekitar RM9.80 sekilo manakala bendi dan bunga kubis pula mencatatkan penurunan ketara, masing-masing daripada RM13.10 kepada RM9.99 sekilo dan RM10.24 kepada RM8.82 sekilo.
Katanya perbezaan harga turut dipengaruhi oleh bekalan, kuantiti pesanan serta kaedah perolehan barangan dengan premis runcit kecil mendapatkan bekalan daripada pasar borong berbanding pasar raya besar yang mempunyai pusat pengedaran sendiri dan membeli secara pukal.
“Berhubung dakwaan PHA mengenai kenaikan sehingga 100% melibatkan tiga barangan, iaitu mangga besar, terung dan lemunggai, ia tidak termasuk dalam pemantauan harian PPH, namun pemeriksaan harga semasa mendapati harga barangan tersebut masih dalam lingkungan pasaran biasa,” katanya.
Jegan berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDN negeri akan terus meningkatkan pemeriksaan harian bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga yang jelas, menggunakan alat timbang yang ditentusahkan serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.