Akmal nafi video AI papar beliau tawar bantuan di TikTok

Akmal nafi video AI papar beliau tawar bantuan di TikTok

Ketua pemuda Umno itu menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan video berkenaan dan segera lapor polis jika ditipu.

Imej, suara Akmal dimanipulasi, didakwa tawar bantuan kewangan screengrab 20226
Tangkap layar video di TikTok yang memaparkan imej dan suara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang dijanakan menggunakan teknologi AI bagi menawarkan pelbagai bantuan kepada orang ramai.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan beberapa video di TikTok yang memaparkan imej dan suara beliau yang menawarkan bantuan kewangan.

Terdahulu tular tiga video di TikTok yang dipercayai dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan beliau menawarkan bantuan melunaskan hutang, modal perniagaan serta berkongsi rezeki kepada rakyat Malaysia yang memerlukan sempena Ramadan.

Akmal yang juga Adun Merlimau menafikan beliau terlibat dalam video berkenaan yang disifatkannya sebagai palsu serta tidak sahih, lapor Berita Harian.

“Saya tidak pernah menawarkan bantuan seperti dipaparkan dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama atau imej saya bagi tujuan memperdaya orang ramai.

“Saya hanya mempunyai satu akaun TikTok, satu Instagram dan dua akaun Facebook rasmi sahaja,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata, perkara itu disedari selepas dihubungi beberapa rakan yang memaklumkan mengenai penyebaran video berkenaan sejak semalam.

Akmal juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan di media sosial.

Beliau turut menggesa orang ramai yang terjumpa atau menjadi mangsa penipuan video berkenaan supaya segera membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.