Anwar mahu RUU had tempoh PM dilulus segera

Anwar mahu RUU had tempoh PM dilulus segera

Anwar Ibrahim kata had tempoh jawatan perdana menteri akan bermula dengan dirinya, sekiranya ia diluluskan Parlimen.

perdana putra pmo
Anwar Ibrahim menyeru Ahli Parlimen supaya sepakat meluluskan RUU mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim mahu rang undang-undang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disegerakan dan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.

Perdana menteri berkata tempoh tersebut mencukupi untuk melaksanakan agenda dan dasar utama, seterusnya memberi ruang kepada kepimpinan baharu.

“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat,” katanya lapor Bernama, seusai solat Jumaat di Banting.

Anwar berkata had tempoh jawatan itu sekiranya diluluskan akan bermula dengan dirinya. “Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu.”

Perdana menteri menyeru kepada kesepakatan dalam kalangan Ahli Parlimen untuk meluluskan RUU itu kelak. “Kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang.”

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri ini dilihat sebagai antara langkah reformasi institusi.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilaporkan berkata RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan.

Jemaah Menteri meluluskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri pada 30 Jan lalu. Ketika itu, Azalina dilapor berkata cadangan itu bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.

Katanya, beberapa pindaan Perlembagaan akan dilakukan bagi mengukuhkan cadangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.