
Anwar juga meminta supaya perbuatan tuduh-menuduh dihentikan segera bagi mengelak sebarang fitnah dan menyeru pihak berkuasa diberi ruang untuk menjalankan siasatan serta pendakwaan.
“Jangan ada tuduh-menuduh dalam bulan Ramadan ini. Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti salah, dakwa.
“Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya (siasatan). Ini masalah dalam negara kita. Dengar sahaja orang tuduh tuduh terus melompat, kecam. Belum tahu lagi. Nanti fitnah,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheding di Banting.
Anwar berkata, beliau menerima baik sebarang dakwaan yang dibangkitkan termasuk terhadap kerajaan, namun menegaskan semua pihak perlu berpegang kepada prinsip keadilan dan proses undang-undang.
“Kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Baru dalam negara ini agak teratur.
“Tapi bulan Ramadan ini kita patut fokus dalam soal ibadat, bermaafan, bersilaturahim. Itu yang kita patut buat,” katanya.
Terdahulu hari ini, Rafizi berkata beliau akan menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengannya, termasuk dakwaan terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion.
Ahli Parlimen pandan itu berkata penjelasan penuh terhadap dakwaan oleh pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice itu akan dibuat dalam program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) 10 malam ini.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Rafizi berkata tuduhan Caprice membabitkan projek solar swasta berskala besar 750 megawatt oleh UEM Lestra, yang ditegaskannya tidak ada kaitan dengan Kementerian Ekonomi diketuainya sebelum ini.
Selain dakwaan itu, Rafizi juga akan menjawab dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Isnin lalu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.