596 kes baharu tibi direkod minggu lalu

596 kes baharu tibi direkod minggu lalu

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Tuberkulosis pada tahun ini meningkat kepada 3,161.

coughing
Penyakit tibi lazimnya tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau Covid-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang, menurut Kementerian Kesihatan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebanyak 596 kes baharu jangkitan Tuberkulosis atau tibi direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam minggu epidemiologi lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes Tibi setakat tahun ini kepada 3,161 kes.

Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 755 kes, diikuti Selangor (596), Sarawak (332), Johor (280), Kuala Lumpur dan Putrajaya (244), Kedah (181), Pulau Pinang (172), Perak (154), Kelantan (121), Pahang (103), Terengganu (74), Negeri Sembilan (62), Melaka (48), Perlis (21) dan Labuan (18).

Kementerian berkata risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan.

Dalam satu kenyataan, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah kesihatan kendiri, memandangkan bulan Ramadan melibatkan lebih banyak aktiviti sosial seperti majlis berbuka puasa dan kunjungan ke bazar Ramadan.

“Penyakit tibi ialah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh merebak apabila seseorang yang menghidap tibi paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin.

“Bagaimanapun, tibi lazimnya tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau Covid-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.