
Bekas menteri ekonomi itu berkata Caprice sudah diberi ruang untuk memohon maaf dan memberi penjelasan namun beliau gagal berbuat demikian.
“Bertanya itu bukanlah ‘defence’ dalam undang-undang fitnah…ada konsep ‘innuendo’ dan ‘insinuation’.
“Dengan ‘bertanya’ tetapi mewujudkan persepsi, itu tetap fitnah,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM) malam tadi
Perkembangan berkenaan menyusul selepas Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.
Ini susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.
Caprice menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.
Dalam pada itu, Rafizi turut menafikan wujud sebarang unsur rasuah berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas timbalan presien PKR itu berkata untuk membuktikan salah laku, perlu ada elemen kepentingan peribadi atau kewangan, pemberi dan penerima, serta penyalahgunaan kuasa.
“Tiga-tiga ini tak ada,” katanya sambil menambah beliau bersedia jika kes itu dibawa ke mahkamah.
Rafizi berkata sekiranya siasatan itu tidak membawa kepada pendakwaan, beliau akan mempertimbangkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan institusi penguatkuasaan untuk pembunuhan karakter.
Dua perjanjian itu berlaku ketika Rafizi mengetuai Kementerian Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.