
Beliau berkata, peguamnya SN Nair dan Jaden Phoon memfailkan notis itu memandangkan Jamal masih gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 26 Julai lalu.
“Sehingga hari ini, saya tidak menerima apa-apa daripadanya,” katanya sambil menambah ganti rugi yang perlu dibayar kepadanya adalah RM351,479.45, termasuk faedah penghakiman.
Pada Julai, Pesuruhjaya Kehakiman Arief Emran Arifin, memutuskan Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok pada sidang media pada 8 Mac 2017, dan memerintahkan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada Kok.
Mahkamah turut memerintahkan Jamal membayar kos RM50,000 kepada Kok.
Kok memfailkan saman terhadap Jamal, pada 2017, selepas menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif Skim Mesra Warga Emas kerajaan negeri.
Beliau menegaskan, kenyataan Jamal menimbulkan tanggapan bahawa beliau telah menggunakan dana kerajaan negeri untuk dirinya, sekali gus, memaparkannya individu tidak beretika.
Pada 26 Julai, Kok juga merujuk bagaimana siasatan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Jamal membuat laporan terhadapnya.
“Mereka serbu pejabat saya dan ambil semua fail saya. Saya dan pembantu disoal siasat beberapa kali dan kami terpaksa jawab pelbagai soalan.
“Kami terpaksa lalui seksaan sebegini hanya kerana Jamal buat laporan terhadap saya.”